Ahad, 18 April 2021

KONSEP KEJIRANAN DAN HAK - HAK JIRAN DALAM ISLAM


 

    


DUA 6022  
KOMUNIKASI DAN PENYIARAN DALAM ISLAM


TAJUK E-FOLIO:

KONSEP KEJIRANAN DAN HAK-HAK JIRAN DALAM ISLAM

NAMA PENSYARAH:

USTAZ HASMINUDDIN BIN HASHIM


AHLI KUMPULAN:




PENGENALAN


              Semangat hidup berjiran yang kita warisi sejak turun temurun, kini jelas semakin terpinggir. Keadaan tersebut tidak wajar dibiarkan kerana hidup berjiran banyak manfaatnya. Dengan semangat kejiranan, masalah jenayah dapat dikurangkan. Kita tidak dapat menafikan bahawa kejadian pecah rumah kerap berlaku ketika penghuninya tiada di rumah. Jika semangat kejiranan dalam masyarakat kita kuat, masalah sedemikian dapat dielakkan kerana sebagai jiran yang bertanggungjawab, seseorang itu akan prihatin terhadap rumah dan harta benda jirannya ketika ketiadaan mereka. Mereka akan membantu melihat persekitaran rumah tetangga dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku sesuatu yang meragukan.

             Untuk memupuk semangat kejiranan, sistem pendidikan memainkan peranan penting iaitu melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Agama, Pengetahuan Moral ataupun melalui penyerapan dalam mata pelajaran lain. Dengan cara ini, amalan hidup berjiran dapat dipupuk di kalangan kanak-kanak. Matlamat pengajaran haruslah menekankan pengamalan budaya tersebut dalam kehidupan sebenar. Bukan hanya setakat mengetahuinya di atas kertas sahaja. Memupuk budaya ini di kalangan kanak-kanak adalah lebih mudah. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

 

              Langkah meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai juga tidak kurang pentingnya. Mereka harus selalu diingatkan agar mengunjungi antara sesama jiran pada waktu perayaan agar mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Begitu juga amalan mengadakan rumah terbuka perlu digalakkan. Sikap pentingkan diri dan berprasangka buruk terhadap jiran seharusnya dihapuskan kerana sifat ini menghalang pembentukan budaya tersebut.Memandangkan amalan hidup berjiran dapat menjamin pewujudan masyarakat penyayang yang amat penting dalam negara majmuk seperti di negara kita, maka kita mestilah sama-sama mengamalkannya.

 

               Seterusanya, pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti rukun tetangga, kenduri dan gotong-royong perlu dijalankan supaya hubungan antara rakyat berbilang kaum dapat dieratkan. Penduduk kawasan perumahan setempat harus mengambil inisiatif untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan rakyat pelbagai kaum seperti meraikan perayaan-perayaan di Malaysia bersama-sama. Aktiviti hari keluarga dan pesta budaya Malaysia juga dapat meningkatkan semangat kejiranan di antara rakyat Malaysia.

              Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersatu dalam usaha untuk memupuk semangat kejiranan di antara rakyat demi mencapai perpaduan kaum. Bak kata pepatah, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Kita sebagai rakyat Malaysia, kita juga  haruslah menghargai keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh semua rakyat dan perlu berusaha dan menyumbangkan tenaga untuk mengukuhkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum negara kita. Diharapkan semua lapisan masyarakat akan memikul tanggungjawab untuk mengekalkan dan mengukuhkan lagi perpaduan di negara Malaysia.




Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya : " Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat , maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.( hadis riwayat Bukhari dan Muslim.




OBJEKTIF KAJIAN 


               Kajian ini membincangkan tentang hubungan kejiranan dalam masyarakat sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam. Kajian ini dibuat bertujuan untuk mengenal pasti konsep kejiranan dan hak-hak jiran. Kaedah yang digunakan ialah melalui penyelidikan perpustakaan dengan mengumpulkan bahan-bahan dan maklurnat yang berkaitan daripada buku-buku dan lain-lain penerbitan. Di samping itu kaedah kajian juga dilakukan melalui hasil pemerhatian secara rambang dalam beberapa perkara yang berkaitan. Di antara objektif kajian ialah untuk memberi kefahaman kepada semua masyarakat khususnya masyarakat Islam tentang sejauhmana tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh mereka dalam hidup berjiran serta mengetahui prinsip-prinsip pergaulan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam agar perpaduan dan permuafakatan di kalangan masyarakat dapat diwujudkan. Ini memandangkan masyarakat hari ini semakin hari semakin mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang jiran. Hasil kajian yang dibuat menunjukkan bahawa semangat kejiranan itu penting sebagai salah satu cara untuk mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat seterusnya melahirkan sebuah negara yang aman dan makmur.



                                                                KONSEP KEJIRANAN

MAKSUD KEJIRANAN DALAM ISLAM 

            Berdasarkan syarak, jiran ialah orang yang berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, di depan atau belakang mahupun di tingkat atas ataupun bawah hingga 40 rumah dari setiap sudut.

 

                   Dalam perkataan Arab, jiran membawa maksud orang yang tinggal sebelah menyebelah atau tetangga. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa semangat kejiranan membawa erti satu suasana dan perhubungan yang positif dalam satu-satu kawasan kejiranan. Ini menunjukkan bahawa Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.

 

                       Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya secara zahir kembali kepada uruf (adat setempat). Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.

 

                   Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat. Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.

 

                       Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.

                  Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan aspek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.

                   Muslim yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa menghormati dan menimbulkan perasan ihsan apabila berinterasi sesama jiran. Islam banyak menggariskan agar umatnya sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran.



DEFINASI JIRAN DALAM BAHASA/ ETOMOLOGI

 

                   Dari segi bahasa atau etomologi, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga. Etika Kejiranan Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Amat memandang berat berkaitan jiran sehingga jiran dianggap sebagai seorang yang boleh mewarisi harta.

                   Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahwa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk mewarisi (mendapatkan harta pusaka)." Dalam menghayati hak-hak jiran, jiran dibahagikan kepada tiga bahagian.

               Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Jiran itu ada tiga macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik atau kafir." Al-Ghazali dalam kitabnya 'Bimbingan Mukmin' telah menyenaraikan hak jiran, antaranya:

 

                  Hendaklah seseorang itu memulakan memberi salam kepada jirannya. Selain itu kita juga perlu menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya. Kita sebagai seorang jiran jangan terlalu banyak bertanya tentang hal ehwalnya dan selalu memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya. Sebagai jiran yang baik juga kita hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang berlaku pada dirinya. Selain itu, kita perlu sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan tutur kata yang baik. Kemudian kita perlu bersiap sedia untuk  menolong jiran yang ditimpa bencana. Kemudian kita jangan sekali – kali  menyakiti hati jiran seperti membuang sampah di pinggir rumahnya dan tidak terpengaruh dengan kata-kata orang yang memburukkan jiran kita kerana Rasulullah SAW memberi amaran keras dan balasan seksa yang memedihkan jika sesuatu hubungan kejiranan bertukar menjadi hubungan yang buruk.



PEMBAHAGIAN JIRAN

 

                 Islam membahagikan jiran kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam. Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 iaitu :

 

                  Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.


HAK JIRAN YANG PERLU DIPELIHARA

 

Rasulullah s.a.w. selalu dipesan oleh malaikat Jibril supaya berbuat baik kepada jiran. Dalam sebuah hadis sahih; diriwayatkan daripada Aisyah r.a. Baginda Mulia telah bersabda: “Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran, sehingga aku menyangka Jibril akan menjadikan jiran itu sebagai waris (kepada jirannya).” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

 

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak sempurna iman, jika kamu tidur dalam kekenyangan sedang jiran tetangga mu menangis kerana kelaparan.

Kes sosial yang pertama dibicarakan di mahkamah Allah Subhanahuwata’ala di hari kiamat ialah tentang jiran, samada kita mendakwa jiran atau jiran yang akan mendakwa kita. Misalnya jiran kita uzur, miskin dan kita tidak pernah menolongnya. Dalam kes sepetti ini, jiranlah yang akan mendakwa kita di akhirat nanti.

 

At-Tabrani meriwayatkan daripada Jabir r.a. daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda; “Jiran itu 3 golongan iaitu, jiran dengan 1 hak, iaitu jiran yang musyrik. Dia hanya ada hak kejiranan. Kedua, jiran dengan 2 hak iaitu jiran yang beragama Islam. Dia ada hak kejiranan dan ada hak Islam dan yang ketiga jiran dengan 3 hak iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Dia ada hak kejiranan, ada hak Islam dan ada hak hubungan kekeluargaan.”

Satu ketika Rasulullah SAW berkumpul bersama dengan para sahabat. Kemudian salah seorang sahabat berkata bahawa dia memiliki seorang jiran wanita yang sering berpuasa disiang hari dan di malam harinya bersembahyang tahajjud. Tetapi Rasulullah mengatakan bahawa wanita itu adalah ahli Neraka. Sahabat bertanya, mengapa demikian. Jawab Baginda Rasulullah SAW, “Wanita itu selalu menyakiti jiran tetangga dengan lidahnya, tidak ada kebaikan lagi baginya dan dia adalah ahli Neraka.


Nabi menyatakan lagi dalam hadisnya:

 

 Jika ia meminta  tolong kepadamu, Engkau akan menolongnya. Jika ia minta pinjaman, engkau akan memberikan pinjaman kepadanya. Jika ia memerlukan sesuatu, engkau akan memberikannya.  Jika ia sakit engkau akan menziarahinya, Jika ia mendapat sesuatu kebaikan, engkau ucapkan tahniah kepadanya,  jika ia tertimpa bahaya, engkau turut sedih bersamanya. Jika ia meninggal dunia, engkau turut menghantar jenazahnya. Jangan sekali-kali engkau meninggikan rumahmu sehingga menyekat angin untuk sampai kerumahnya kecuali dengan izinnya. Jangan mengganggu perasaannya dengan bau masakan kamu, melainkan engkau akan memberikan sedikit dari makanan itu. Jika engkau beli buah-buahan, berikan sedikit kepadanya. Jika engkau tidak mahu memberikannya maka hendaklah engkau memasukan buah-buahan itu ke dalam rumah secara rahsia supaya tidak kelihatan  olehnya dan janganlah mem biarkan anakmu memakan buah-buahan itu dihadapan anaknya, kelak anak jiran itu akan menangis mahukan buah tersebut.


HAK-HAK JIRAN DALAM ISLAM

              Sebagai jiran kita, masing-masing ada kewajipan dan ada hak. Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, ada memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami, malah mengamalkannya:

a) JANGAN MENYAKITI JIRAN

         Dasar ini memberi erti tidak boleh sama sekali melakukan zina,mencuri,mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran atau membuang perut ikan di dalam longkang ketika proses memasak sehingga bau busuk melepasi hingga ke rumah jiran ,alat dan langau yang datang menghurung sampah sarap dan perut ikan juga boleh menggangu ketenteraman jiran.Jadi perbuatan buruk terhadap jiran anda itu amatlah salah.Lebih dasyat lagi apabila terdapat jiran yang sanggup melakukan zina atau melakukan pencurian terhadap jiran adalah sepuluh kali ganda lebih buruk daripada melakukannya kepada pihak lain.


b)MEMELIHARA JIRAN 

           Setiap daripada kita wajib memelihara kepentingan jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa

 

مَنْ اَقرَّ عَيْنَ مُؤْمِنِ اَقَرَّ اللهُ عَيْنَهُ يَوْمَ اَلْقِيَامَةِ

 

Maksudnya: “Barang siapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat”.

            Jika kita menjaga kepentingan mereka umpamanya memantau rumahnya ketika jiran tetangga pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan atau cuti panjang daripada diceroboh oleh pencuri dengan memaklumkan jiran tersebut lalu terus melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis, kita sebenarnya telah berbuat baik kepada jiran dengan menjaga kepentingan mereka. Bayangkan situasi ketika hari kiamat, tiada siapa yang boleh membantu kita kecuali Allah SWT. Dunia menjadi kelam kabut, manusia dan alam seluruhnya menjadi seperti debu-debu yan11g berterbangan. Pada saat itulah kita mengharapkan pertolongan Allah. Penulis sangat yakin dan percaya bahawa Allah SWT tidak pernah memungkiri janjiNya.


c) BERBUAT BAIK KEPADA JIRAN 

             Dengan maksud jika jiran bergembira seperti dapat menantu, anak-anak lulus dengan baik dalam peperiksaan atau pelajaran, maka ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka kerana kematian keluarganya, berilah takziah, walaupun bukan seagama. Malah jika mereka ditimpai sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapalah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi Muhammad s.a.w. meletakkan mereka yang menghormati jiran itu sebagai tanda orang yang beriman.


KEBAIKAN/HIKMAH BERBUAT BAIK DENGAN JIRAN

Hari ini, jalinan ukhuwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim dengan memanfaatkan teknologi masa kini seperti e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman-laman sosial seperti Facebook dan lain-lain serta tidak ketinggalan melalui telefon.Namun ramai yang tidak menyedari bahawa antara rahsia yang boleh mengeratkan hubungan silaturrahim, dan kasih sayang antara sesama ahli masyarakat ialah mengucapkan salam dan bertanya khabar tentang diri masing-masing.Rasulullah SAW menunjukkan cara yang mudah dalam mewujudkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Islam iaitu melalui mengucapkan salam ketika bertemu. Selain itu, menyahut panggilannya jika dipanggil dan mendoakan ketika bersin. Kita juga perlu menziarahi ketika sakit/kematian dan  menolong ketika kesempitan. Kita juga jangan lupa untuk memenuhi undangan apabila dijemput.

Perhubungan yang baik ini mesti dilakukan secara berterusan bertepatan dengan petunjuk Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya.Kita boleh gunakan kesempatan hari-hari perayaan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat antara ahli keluarga, sahabat dan jiran.Amalan ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan ikatan ukhuwah sesama Islam.Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwah.

Bagi mencapai matlamat sebenar amalan ziarah-menziarahi ini terdapat adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap Muslim untuk meraih keredaan dan rahmat ilahi. Ikatan ukhuwah Islamiah yang erat dan kukuh di kalangan umat Islam merupakan elemen yang amat penting ke arah merealisasikan visi dan misi perpaduan ummah sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Perpaduan ummah yang jitu di semua peringkat mampu mengangkat keunggulan martabat umat Islam di persada dunia. Silaturrahim juga merupakan tunjang utama kekuatan ummah dengan syarat ia diasaskan dengan ketakwaan dan berlandaskan syariat. Ia boleh menjauhkan manusia daripada hasad dengki dan fitnah. Silaturrahim juga boleh mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT kerana dapat membentuk akhlak manusia lebih baik daripada sebelumnya. Seandainya jalinan silaturrahim diabaikan, ia bukan sahaja merenggangkan hubungan dengan Allah tetapi juga memisahkan kasih sayang antara sesama manusia. Orang yang paling berhak mendapat keakraban silaturahim daripada kita adalah orang yang hampir dengan kita. Antaranya, ibu bapa dan kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan pertalian darah dan seterusnya orang-orang lain di luar lingkungan ini termasuklah jiran tetangga. Allah SWT memerintahkan agar manusia berbuat baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat ataupun yang jauh. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya. Untuk menjalinkan silaturrahim sebenarnya bukanlah sukar. Apa yang penting ialah keinginan untuk bersilaturrahim dalam diri manusia, tidak sombong, mengenepikan keegoan, kebencian dan dendam dan digantikan dengan perasaan kasih sayang, bersabar terhadapperbuatan yang menyakitkan dan berbuat baik serta bergaul bersama mereka dengan akhlak yang mulia. Tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang retak bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini. Orang tengah yang boleh mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus dalam masyarakat adalah mereka yang terpuji.

Rasulullah SAW membimbing amalan baik yang wajar dilaksanakan oleh seseorang untuk mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang menghindarkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghindarkan satu daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan satu kesulitan di dunia, Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Sesiapa yang menghindari merosakkan hak dan kehormatan saudaranya, Allah akan menghindarkan wajahnya daripada api neraka pada hari kiamat. Marilah kita sama-sama akrabkan kembali hubungan silaturahim sesama umat. Hulurkan tangan mohon kemaafan agar dapat meraih kejayaan dan kecemerlangan bersama sama ada di dunia dan akhirat. Kesimpulannya kita akan terasa indah apabila setiap saat kita boleh bertegur sapa, mengisi hari dengan senyuman dan semangat kebersamaan antara keluarga, sahabat, rakan sekerja termasuklah mereka yang berlainan agama dan etnik dengan kita.


ADAB BERJIRAN TETANGGA MENURUT IMAN AL-GHAZALI

Dewasa ini, kesuntukkan waktu demi mengisi keperluan hidup membuatkan antara kita tidak mengamalkan semangat kejiranan kerana tidak sempat untuk bertegur sapa sesama jiran. Hal ini akan membuatkan perhubungan sesama ahli masyarakat menjadi kurang mesra. Selain itu, kegagalan sesetengah individu memahami konsep kejiranan dengan baik juga akan membuatkan berlakunya perselisihan faham dan akan mewujudkan aura perhubungan yang negatif. Keadaan ini pasti akan memperlahankan proses perpaduan dan boleh menimbulkan perasaan kekok apabila sesakali bersua muka ditempat awam sama ada di pasar malam, surau atau masjid bahkan ketika di kenduri perkahwinan dikawasan kejiranan.

Kepentingan adab berjiran amat penting dan dititik beratkan di dalam agama Islam. Adab semasa pergaulan sesama jiran bermaksud segala sikap, percakapan di dalam perbualan, senyuman, budi, pekerti, perangai, tingkahlaku dan tabiat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan ianya mestilah bersendikan Al-Quran dan Al-Sunnah. Islam telah menggariskan beberapa adab yang perlu dipatuhi di dalam kehidupan berjiran. Antara yang paling ditekankan ialah ketika berbicara sesama jiran. Hal ini kerana, setiap apa yang dibicarakan oleh seseorang, ia menggambarkan apa yang ada didalam kotak fikirannya serta perangainya. Bagi setiap muslim, semasa bersosial perlu mengelak membicarakan sesuatu yang tidak berfaedah.

Imam Al-Ghazali menukilkan kisah di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin’ bahawa hak jiran bukanlah sekadar mencegah diri kita daripada menyakiti atau perbuatan yang tidak menyenangkan hati jiran sahaja, tetapi hendaklah bersabar menahan perasaan jika disakiti bahkan lebih daripada itu. Hendaklah kita memberi pertolongan kepada jiran dan menunjukkan rasa kasih sayang.

Diceritakan bahawa Ibnu Muqaffa’ pada suatu hari mendengar bahawa jirannya akan menjual rumah yang didiaminya kerana hendak membayar hutang yang sudah banyak ditanggungnya. Pada waktu itu, Ibnu Muqaffa’ berkata “Sekiranya dijual, tentu saya tidak memperolehi kerhormatan bernaung di bawah rumahnya”. Tidak lama kemudian, dia menemui jirannya itu dan memberikan wang mengikut kadar rumah itu sebagai sedekah dan berkata, “Janganlah saudara menjual rumah saudara ini.

Imam Al-Ghazali juga telah turut menyenaraikan hak-hak seseorang muslim terhadap jirannya untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran yang berguna sebagai panduan bersama ketika berinteraksi dengan jiran tetangga iaitu;


·         Hendaklah mendahulukan ucapan salam kepadanya setiap kali bertemu.

·         Jangan terlalu banyak bertanya kepadanya tentang keadaannya sehari-hari.

·         Menziarahi dirinya atau kaum keluarganya apabila sakit ataupun ditimpa musibah.

·         Tunjukkan bahawa kita turut berdukacita dan bersimpati jika mereka ditimpa musibah dan bersegera memberikan pertolongan jika perlu sekalipun tanpa diminta.

·         Menyatakan perasaan gembira apabila mereka memperoleh kesenangan atau kurniaan Allah  SWT.

·         Ampunilah segala kesalahan-kesalahan atau keburukkannya, baik dengan apa-apa cara sekalipun.

·         Jangan membuat sesuatu yang tidak menyenangkan jiran kita umpamanya meletakkan batang kayu di dinding rumahnya.

·         Jangan menyempitkan jalan menuju ke rumahnya.

·         Jangan mengintai-ngintai apa yang dibawa olehnya ke dalam rumahnya.

·         Tutuplah kecacatan atau kekurangan yang nampak di matamu dan jangan hebohkan kepada sesiapapun.

·         Berikanlah dia semangat untuk terus berusaha menghadapi kesukaran apabila kesukaran menimpanya.

·         Jangan lalai menjaga rumahnya pada waktu dia tiada atau sedang bermusafir.

·         Jangan mendengar kata-kata orang lain yang mengeji dirinya, yang berupa umpatan atau     berita-berita yang tidak menyenangkan.

·         Tundukkan matamu sewaktu melihat isteri/suaminya.

·         Jangan selalu memandang hamba/pembantu rumahnya.

·         Bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya baik dalam percakapan atau lain-lain.

·         Tunjukkan sesuatu yang tidak diketahui oleh saudaranya, baik yang dalam urusan keduniaan atau keakhiratan.


LAMPIRAN KONSEP KEJIRANAN















Rujukan



https://www.youtube.com/watch?v=jf-DaWPtrJU

http://conference.kuis.edu.my/irsyad/images/eproceeding/2018/1072-irsyad-2018.pdf

http://sexygirlxx98.http://sexygirlxx98.blogspot.com/blogspot.com/




KONSEP KEJIRANAN DAN HAK - HAK JIRAN DALAM ISLAM

       DUA 6022   KOMUNIKASI DAN PENYIARAN DALAM ISLAM TAJUK E-FOLIO: KONSEP KEJIRANAN DAN HAK-HAK JIRAN DALAM ISLAM NAMA PENSYARAH: USTAZ H...